Wednesday, March 10, 2021

Projek PSR boleh sebabkan kemusnahan kekal

 KUALA LUMPUR: Projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) boleh mengakibatkan kemusnahan kekal kepada ekosistem laut.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis di Dewan Rakyat, hari ini.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menarik perhatian pihak kerajaan Pulau Pinang bahawa pembangunan projek itu akan menyebabkan kemusnahan kekal ke atas ekosistem daratan lumpur, kawasan memancing, kawasan pendaratan penyu dan sebahagian terumbu karang di Pulau Rimau.

“Kemusnahan kekal ini akan memberi impak negatif kepada sumber perikanan, nelayan dan jaminan sumber bekalan negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berhubung justifikasi kelulusan laporan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) diberikan kepada projek PSR walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk nelayan.

Isnaraissah Munirah menjelaskan, laporan EIA yang dikemukakan, memenuhi Seksyen 34A(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan diluluskan pada 25 Jun lalu dengan 72 syarat kelulusan.

Katanya, laporan itu melalui prosedur pameran awam yang diadakan pada 29 April hingga 28 Mei lalu di 11 lokasi selain Jawatankuasa Penilaian Teknikal EIA (EIATRC) turut mengadakan dua mesyuarat pada 10 dan 29 Mei lalu bagi membincangkan laporan berkenaan.

“Dalam hal ini kerajaan Pulau Pinang perlu memastikan semua langkah mitigasi yang dicadangkan dalam laporan EIA dilaksanakan tanpa gagal, terutama nasihat teknikal daripada Jabatan Perikanan.

“Mereka juga perlu melaksanakan Program ‘Offset’ antaranya membuat tukun tiruan, memasang ‘Fish Aggregating Device’, penanaman semula bakau dan pelepasan benih ikan.

“Kerajaan Pulau Pinang perlu melaksanakan semua akujanji seperti dinyatakan dalam laporan EIA. JAS akan sentiasa memantau projek ini dan sedia mengeluarkan notis berhenti kerja jika berlaku pelanggaran syarat EIA,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri bercadang melaksanakan projek PSR dengan keluasan lebih 2,600 hektar bagi membina tiga pulau buatan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP), dianggar bernilai RM49 bilion dan melantik SRS Konsortium sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

Projek mega itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak dengan golongan nelayan tradisi di Pulau Pinang dikatakan paling teruk terjejas, selain ia dilapor boleh mengubah sempadan laut negara dan mungkin menimbulkan masalah dengan negara jiran.

Kontroversi bagi membangunkan tiga pulau buatan itu terus membelenggu hampir 1,500 nelayan tradisi di kawasan berkenaan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut sebagai punca pendapatan, sejak ia diperkenalkan pada 2013.

Menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (PH-Tasek Gelugor) statistik terkini berkaitan laporan pencemaran alam sekitar, Isnaraissah Munirah berkata, sebanyak 9,681 laporan diterima JAS bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

“Laporan pencemaran yang diterima membabitkan pencemaran air, udara, tanah, buangan terjadual, bunyi bising, tumpahan minyak dan lain-lain,” katanya.

Dalam tempoh itu juga, JAS melakukan 11,710 pemeriksaan, arahan lapangan (1,593), notis arahan (3,413), kompaun (3,265), tindakan mahkamah (238) dan perintah larangan (254).

No comments:

Post a Comment